Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA kasih jari anak yatim BERJAYA MENCAPAI 155 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH MUSLIM

81  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1771.
Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang sanggup mencari berita mengenai kegiatan Abu Jahil?" Maka berangkatlah Ibnu Mas'ud. Didapatinya Abu Jahil telah dipukul rubuh oleh dua orang anak 'Afra (orang Ansar, anak petani kurma), sehingga dia tidak berdaya. Lalu ku pegang janggutnya, sambil berkata, "Engkaukah Abu Jahil?" Jawabnya, "Tidaklah menjadi kehinaan bagi ku jika engkau yang membunuh ku, atau dibunuh oleh kaum ku sendiri." Kata Abu Mijlaz, "Abu Jahil mengatakan: Asal aku jangan dibunuh anak petani."

82  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2519.
Dari Shuhaib r.a. katanya Rasulullah saw. bercerita: "Pada zaman dahulu ada seorang raja mempunyai seorang tukang sihir. Ketika usia tukang sihir itu bertambah lanjut, dia berkata kepada raja, "Aku sudah tua. Kerana itu kirimlah kepada ku seorang pemuda supaya ku ajari dia ilmu sihir." Maka dikirimlah kepadanya oleh raja seorang pemuda untuk belajar ilmu sihir. Di jalan yang dilalui si pemuda setiap hari hendak pergi belajar sihir ada seorang pendeta. Si pemuda selalu singah ke tempat pendeta tersebut dan menyemak ajaran-ajarannya. Ternyata ajaran pendeta tersebut sangat dikagumi si pemuda. Apabila dia terlambat sampai ke tempat tukang sihir, dia dipukul oleh tukang sihir. Hal itu diadukannya kepada pendeta. Kata pendeta, "Jika engkau takut dimarahi tukang sihir katakan kepadanya bahawa engkau terlambat kerana halangan keluarga. Dan jika engkau takut dimarahi keluargamu, katakan bahawa engkau terlambat pulang kerana tukang sihir." Sementara keadaan berjalan demikian rupa, pada suatu hari muncul seekor binatang besar menghambat orang ramai lalu lintas di jalan raya. Kata si pemuda, "Hari ini aku harus tahu, mana yang lebih ampuh ilmu tukang sihir dengan ilmu pendeta." Maka diambilnya batu lalu dia mendoa, "Wahai Allah! Jika ilmu pendeta yang lebih Engkau sukai dari ilmu tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini supaya orang ramai dapat lalu." Lalu dilemparnya binatang itu dan mati seketika itu juga, sehingga orang ramai dapat lalu. Si pemuda datang kepada pendeta menceritakan peristiwa yang baru dialaminya. Kata pendeta, "Hai anak ku! Mulai hari ini ternyata engkau lebih unggul daripada ku. Engkau telah mencapai sasaran yang ku duga. Tetapi engkau akan mendapat ujian. Jika engkau diuji, janganlah engkau mengatakan bahawa aku gurumu. Si pemuda sudah pandai mengubati orang bisu, mengubati penyakit kusta, dan mengubati berbagai penyakit orang banyak. Hal itu terdengar oleh seorang Menteri Raja yang buta matanya. Maka didatanginya si pemuda dengan membawa berbagai hadiah yang banyak. Katanya, "Jika engkau dapat menyembuhkan dari kebutaan, maka hadiah-hadiah ini ku berikan kepada mu." Jawab pemuda, Aku tidak dapat menyembuhkan seseorang. Yang menyembuhkan sesungguhnya hanya Allah. Anda mahu iman kepada Allah, aku akan mendoa semoga Dia berkenan menyembuhkan Anda." Maka imanlah dia kepada Allah, lalu Allah Ta'ala menyembuhkannya. Kemudian Menteri Raja datang ke majlis raja sebagaimana biasa. Sang Raja bertanya kepadanya, "Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?" Jawab Menteri, "Tuhan ku!" Titah Raja, "Engkau punya Tuhan selain aku?" Jawab Menteri, "Tuhan ku dan Tuhan Anda ialah Allah!" Maka diseksanya Menteri tersebut, sehingga dia terpaksa menunjukkan pemuda yang mengubatinya. Maka diiringlah si pemuda ke hadapan raja. Titah Raja, "Hai anak ku! Sungguh hebat ilmu sihirmu. Engkau dapat menyembuhkan orang buta, menyembuhkan penderita kusta, dan engkau telah berjasa begini dan begitu." Jawab pemuda "Aku tidak dapat menyembuhkan siapa pun. Sesungguhnya yang menyembuhkan hanya Allah Ta'ala semata-mata." Maka diseksanya lah si pemuda sehingga dia terpaksa menunjukkan pendeta. Maka digiring pula pendeta ke hadapan raja. Titah Raja, "Keluarlah (murtadlah) dari agamamu. Pendeta menolak perintah raja tersebut. Raja memerintahkan supaya mengambil gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepala pendeta. Lalu dibelah kepalanya sehingga kedua belahannya jatuh. Kemudian dihadapkan pula Menteri Raja. Maka diperintahkan kepadanya, "Keluarlah (murtadlah) kamu dari agamamu!" Menteri Raja menolak. Maka diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya, lalu dibelah sehingga kepalanya jatuh. Kemudian dihadapkan si pemuda. Maka diperintahkan pula kepadanya, "Keluarlah kamu dari agamamu!" Tetapi si pemuda menolak lalu dia diserahkan kepada para pengawal raja. Titah Raja, "Bawa dia ke puncak-puncak gunung. Sampai di sana, jika dia mahu keluar dari agamanya, jangan diapa-apakan. Tetapi jika dia menolak, lemparkan ke jurang yang dalam. Maka berangkatlah mereka membawa si pemuda ke puncak gunung. Sementara itu si pemuda mendoa, "Wahai Allah, selamatkanlah aku dari kejahatan mereka dengan cara apa saja yang Engkau kehendaki." Maka bergoncanglah (gempa) gunung, sehingga para pengawal raja jatuh semuanya ke jurang. Dan si pemuda pulang kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Raja bertanya, "Mana para pengawal, apa yang terjadi dengan mereka?" Jawab pemuda, "Allah menyelamatkan dari kejahatan mereka." Maka diserahkannya si pemuda kepada para pengawal yang lain dengan titahnya, "Bawa dia dengan perahu ke tengah-tengah lautan. Jika dia mahu keluar dari agamanya, biarkan dia. Tetapi jika dia menolak, lemparkan dia ke laut. Maka berangkatlah mereka membawa si pemuda. Si Pemuda mendoa, "Wahai Allah! Selamatkanlah aku dari kejahatan mereka dengan cara bagaimanapun Engkau kehendaki." Maka terbaliklah perahu mereka sehingga para pengawal tenggelam semuanya. Si pemuda pulang kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Tanya Raja, "Ke mana para pengawal, apa yang terjadi?" Jawab pemuda, "Allah melindungi ku dari kejahatan mereka." Kata pemuda kepada raja, "Anda tidak akan dapat membunuh ku sebelum Anda lakukan perintah ku." Tanya Raja, "Apa itu?" Jawab pemuda, "Kumpulkan seluruh rakyat di suatu lapangan. Lalu salib aku di situ pada sebatang pohon. Kemudian ambil anak panah dari tempat panah ku dan letakkan di busur dengan membaca : Bismillahi rabbil ghulam (Dengan nama Allah, Tuhan Pemuda ini). Sesudah itu panahlah aku. Bila Anda lakukan seperti itu maka Anda akan berhasil membunuh ku." Maka dikumpulkannya lah seluruh rakyat di suatu lapangan. Lalu disalibnya si pemuda pada sebatang pohon. Kemudian di ambilnya panah lalu dipasangnya pada busur dengan membaca: Bismillahi rabbil ghulam. Maka dipanahnya lah si pemuda, kena pelipisnya. Si pemuda meletakkan tangannya di tempat yang kena panah lalu dia mati. Maka berkata orang banyak, "Kami iman dengan Tuhan si pemuda! Kami iman dengan Tuhan si pemuda! Kami iman dengan Tuhan si pemuda!" Pernyataan rakyat tersebut dikhabarkan orang kepada raja. Kata mereka, "Tahukah Anda, bahawa apa yang Anda takutkan selama ini sungguh telah terjadi. Rakyat telah menyatakan iman kepada Allah." Maka diperintahkan oleh raja supaya membuat parit di pintu-pintu jalan utama, lalu dibuat orang parit yang di dalamnya dinyalakan api. Titah raja, "Siapa tidak keluar dari agamanya, lemparkan dan bakar mereka dalam parit." Maka dilaksanakanlah perintah raja tersebut. Pada giliran seorang wanita yang sedang menggendong bayi, wanita itu mundur maju akan masuk ke dalam parit. Maka berkata bayinya, "Wahai ibu! Tabahkanlah hati ibu kerana ibu berada dalam kebenaran. "

83  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1991.
Dari Abdullah Ibnu 'Abbas r.a. katanya Maimunah menceritakan kepadanya bahawa pada suatu pagi Rasulullah saw. kelihatan diam kerana susah dan sedih. Kata Maimunah, "Ya, Rasulullah! Aku hairan melihat sikap Anda sehari ini. Apa yang terjadi?" Jawab Rasulullah saw., "Jibril berjanji akan datang menemui ku malam tadi, ternyata dia tidak datang. Ketahuilah dia pasti tidak menyalahi janji dengan ku!" Rasulullah saw. sentiasa kelihatan susah dan sedih sehari ini. Kemudian beliau melihat seekor anak anjing di bawah tempat tidur kami, lalu beliau suruh keluarkan anak anjing itu. Kemudian diambilnya air lalu dipercikinya bekas-bekas tempat anak anjing itu. Ketika hari sudah petang. Jibril datang mendahului beliau. Kata beliau kepada Jibril, "Anda berjanji akan datang pagi-pagi." Jawab Jibril, "Benar! Tetapi kami tidak dapat masuk ke rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar-gambar (haiwan)." Esok pagi Rasulullah saw. memerintahkan supaya membunuh semua anjing sampai anjing penjaga kebun kecil sekalipun tetapi membiarkan anjing penjaga kebun yang luas."

84  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2489.
Dari Jabir bin 'Abdullah r.a. katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw. lalu di pasar melalui bahagian atas. Orang banyak mengikuti beliau di kiri dan di kanan. Beliau bertemu dengan bangkai seekor anak kambing yang kecil kedua telinganya. Lalu dihampiri dan diambilnya anak kambing pada telinganya. Kata beliau, "Siapakah di antara kamu yang suka membeli ini dengan satu dirham?" Jawab mereka, "Kami tidak suka sedikit jua pun. Untuk apa bagi kami." Tanya beliau, "Sukakah kamu diberi dengan cuma-cuma?" Jawab mereka, "Sekalipun dia hidup kami tidak akan mahu, kerana anak kambing itu cacat. Kedua telinganya kecil. Apalagi dia sudah menjadi bangkai." Sabda Rasulullah saw., "Demi Allah, sesungguhnya dunia lebih hina di sisi Allah Taala daripada anggapanmu terhadap bangkai ini."

85  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1309.
Dari Sufyan bin Abu Zuhair r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Ketika negeri Yaman ditaklukkan, berbondong-bondonglah penduduk Madinah datang ke sana membawa keluarga dan anak buah mereka. Padahal Madinah lebih baik bagi mereka; sayang mereka tidak tahu. Kemudian ditaklukkan pula negeri Syam, maka berbondong-bondong pula orang Madinah datang ke sana membawa keluarga dan anak buah mereka. Padahal kota Madinah lebih baik bagi mereka, sayang mereka tidak tahu. Kemudian ditaklukkan pula Iraq, maka berbondong-bondong pulalah orang datang ke sana membawa keluarga dan anak buah mereka. Padahal Madinah lebih baik bagi mereka, sayang mereka tidak mengerti."

86  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2146.
Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Tidak ada ku lihat orang yang lebih penyayang terhadap keluarganya melebihi Rasulullah saw. Ibrahim (anak beliau) disusukan pada suatu keluarga di sebuah kampung di perbukitan Madinah. Pada suatu hari beliau pergi menengoknya, dan kami ikut bersama-sama dengan beliau. Setelah beliau masuk ke rumah orang tua susuan Ibrahim, didapatinya rumah itu penuh asap, kerana orang tua susuan anak itu adalah seorang pandai besi. Nabi saw. menggendong bayinya lalu diciumnya, kemudian beliau pulang. Kata 'Amru, "Tatkala Ibrahim wafat, Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya Ibrahim adalah anakku. Dia meninggal dalam usia menyusu. Kedua orang tua susunya akan menyempurnakan susuannya nanti di syurga."

87  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2261.
Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya: "Seorang perempuan datang kepada Nabi saw. lalu dia berkata: Kaum lelaki telah belajar mengaji kepada Anda. Sediakan pulalah waktu bagi kami satu hari, supaya kami dapat mendatangi Anda pada hari itu, mempelajari ilmu yang diajarkan Allah kepada Anda." Jawab Nabi saw., "Berkumpullah pada hari-hari itu dan itu!" Maka berkumpullah mereka pada hari-hari yang ditentukan beliau, lalu beliau datang mengajar mereka ilmu-ilmu yang telah diajarkan Allah kepadanya (ilmu agama). Antara lain beliau bersabda: "Tidak seorang jua pun para wanita di antara kamu sekalian yang anaknya lebih dahulu meninggal sampai tiga orang, melainkan anak-anak itu menjadi dinding baginya dari api neraka." Lalu bertanya seorang wanita, "Bagaimana kalau dua orang, dua orang, dua orang?" Maka jawab Rasulullah saw., "Ya, dua orang, dua orang, dua orang."

88  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0262.
Dari Tsauban, maula Rasulullah saw., katanya: "Pada suatu waktu, ketika aku sedang berdiri dekat Rasulullah saw., tiba-tiba datang seorang pendeta Yahudi, seraya ia mengucapkan salam: Assalamu'alaika ya, Muhammad!" Lalu pendeta itu aku dorong, sehingga dia hampir jatuh. Katanya, "Kenapa engkau dorong aku?" Jawab ku, "Apa keberatanmu untuk menyebutkan 'Ya, Rasulullah'?" Kata Yahudi itu, "Bukankah aku telah memanggilnya dengan nama yang diberikan keluarganya?" Kata Rasulullah saw., "Ya, namaku Muhammad! Dan itulah nama yang diberikan keluargaku kepada ku." Kata Yahudi, "Aku sengaja datang hendak bertanya kepada anda." Jawab Rasulullah saw., "Akan adakah gunanya jika ku jawab pertanyaanmu itu?" Yahudi: "Akan ku dengar dengan kedua telingaku." Rasulullah saw.: (menggaris-garis tanah dengan tongkatnya - agaknya beliau sedang berfikir atau menunggu wahyu lalu beliau berkata) "Silakan bertanya Yahudi: "Di mana manusia berada pada hari pergantian bumi dan langit dengan bumi dan langit yang lain?" Rasulullah saw.: "Mereka berada dalam kegelapan, dekat suatu jambatan." Yahudi: "Siapa orang yang pertama-tama melalui jambatan itu?" Rasulullah saw.: "Kaum Muhajirin yang miskin-miskin." Yahudi: "Apa yang mereka makan ketika mula-mula masuk syurga?" Rasulullah saw.: "Ujung hati ikan!" Yahudi: "Apa yang mereka makan sesudah itu?" Rasulullah saw.: "Disembelihkan untuk mereka lembu syurga yang digembalakan di pinggir-pinggir syurga itu." Yahudi: "Apa minuman mereka di sana?'; Rasulullah saw.: "Air mata air yang disebut 'Salsabila'." Yahudi: "Jawapan anda benar belaka! Kata Yahudi itu selanjutnya, "Aku datang hendak bertanya kepada anda, sesuatu yang tidak seorang pun penduduk bumi mengetahuinya, kecuali para Nabi atau seorang dua lelaki." Rasulullah saw.,: "Akan adakah gunanya jika pertanyaan itu ku jawab?" Yahudi: "Akan kudengar dengan kedua telingaku." Kata Yahudi itu melanjutkan, "Aku datang hendak menanyakan (masalah kelahiran) anak." Rasulullah saw.: "Air mani lelaki berwarna putih dan air mani perempuan berwarna kekuning-kuningan. Apabila keduanya bertemu, maka jika mani lelaki yang lebih unggul dari mani perempuan, akan lahir dari perempuan itu anak lelaki. Dan jika mani perempuan yang lebih unggul dari mani lelaki, akan lahirlah anak perempuan dengan izin Allah." Yahudi: "Jawapan anda benar belaka. Dan anda memang sesungguhnya Nabi!" Kemudian dia pergi. Maka bersabda Rasulullah saw. "Sesungguhnya aku pernah ditanya orang seperti apa yang ditanyakan Yahudi itu. Mulanya aku belum tahu apa-apa mengenai masalah itu, tetapi Allah mengajarkannya kepada ku."

89  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0566.
Dari Abu Mas'ud r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Jibril turun mengimami ku solat. Kerana itu aku solat bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya. Beliau menghitung dengan anak jari beliau lima kali solat.

90  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0598.
Dari Tsabit r.a, katanya jemaah bertanya kepada Anas tentang cincin Rasulullah saw. Kata Anas, "Pada suatu malam Rasulullah saw. mengundurkan solat Isyak hingga seperdua malam atau lebih. Sesudah itu barulah Nabi saw. solat. Beliau bersabda, "Orang-orang sudah solat dan mereka sudah tidur. Tetapi anda semua sentiasa seperti berada dalam solat selama anda dalam menunggu-nunggu waktu solat." Kata Anas, "Seolah-olah masih kelihatan oleh ku bagaimana berkilaunya cincin Nabi saw. yang dibuat dari Perak sambil ia mengangkat jari manisnya yang kiri."